Pages

klik sini sekali

Monday, November 8, 2010

Cemburunya aku matinya begitu...

By: Towil
ALHAMDULILLAH… dia dah meninggal”, begitu ungkapan ahli paramedik yang datang dengan ambulan ke hotel tempat aku menginap di Madinah Al Munawwarah sebaik memeriksa denyut nadi isteri Haji Seman di bilik mereka. Aku pergi kepada Haji Seman dan berbisik di telinganya mengkhabarkan pemergian isteri beliau kerana aku kira dia tidak faham ungkapan itu yang disebut dalam Bahasa Arab.
 Sebak Haji Seman tak dapat ditahan, langsung bercucuran airmatanya ke bahuku. Hening pagi Jumaat itu begitu mendamaikan walaupun rancangan asal aku nak berqiyamullail di Masjid Nabawi bersama Haji Seman pada jam tiga pagi tergendala lantaran kematian isterinya. Sempat aku memandang wajah isteri beliau di pembaringan yang seakan tersenyum tenang sewaktu jenazahnya diangkat ke ambulan untuk disahkan kematiannya di hospital.
 Tiga hari sebelum itu sewaktu di Lapangan Terbang Sultan Abdulaziz Shah Subang aku sembat berbual dengan isteri Haji Seman yang juga rakan kepada ibuku. Memang lembut tuturkatanya meminta aku tolong tengok-tengokkan dia dan suaminya sebab dia tidak begitu sihat. Aku diberitahu yang dia ada darah tinggi dan kencing manis. Hanya setibanya kami di Karachi, Pakistan sewaktu transit dalam perjalanan pergi baru aku diberitahu oleh Haji Seman perihal isterinya yang baru menjalani pembedahan mata buat kali ke-8.
 Kami transit dua hari satu malam di Karachi. Pada pagi hari kedua Haji Seman meminta aku tolong carikan klinik untuk memeriksa keadaan isterinya yang muntah setiap beberapa jam selepas makan semenjak dari Subang. Aku beritahu Doktor yang memeriksa makcik ini ada darah tinggi dan kencing manis. Hasil pemeriksaannya mengatakan keadaan makcik stabil termasuk tekanan darahnya. Rumusan Doktor mengesyorkan kami mendapatkan ubat mabuk penerbangan dari farmasi kerana keadaan makcik tidak serius.
 Sesampai di Jeddah, kesemua 99 jemaah Umrah bersamaku dijamu dengan makanan yang telah siap dibungkus oleh pihak katering muassasah. Makcik yang semakin lesu dalam perjalanan masih cuba menyuap nasi yang disediakan, namun selepas beberapa jam dalam perjalanan kami menuju ke Madinah, dia muntah lagi. Mujur suaminya Haji Seman sentiasa disisi melayani makcik dengan penuh kasih sayang meskipun mereka sudah berpuluh tahun hidup bersama.

 Kami sampai di Madinah yang bercahaya pada awal pagi Khamis. Selesai semua jemaah aku aturkan bilik masing-masing, Haji Seman mengajak aku cari klinik untuk memeriksa isterinya sekali lagi. Mahu sahaja aku setujui permintaan Haji Seman sewaktu kami pulang dari solat subuh di Masjid Nabawi tetapi oleh kerana kami semua kepenatan akibat perjalanan yang meletihkan, aku mencadangkan agar makcik dibiarkan istirehat dahulu sambil memakan ubat mabuk yang dibeli sewaktu di Karachi.
 Selepas asar aku menuju ke klinik berhampiran bersama Haji Seman tetapi Doktor yang bertugas tidak ada. Pembantu klinik mencadangkan kami terus ke hospital sekiranya keadaan serius. Haji Seman mengalah untuk tidak ke hospital kerana keadaan isterinya tidak nampak terlalu serius. Aku teringat sebuah hadith yang diceritakan oleh Mutawwif kami tentang khasiat Kurma Nabi, lalu aku cadangkan Haji Seman membeli sedikit Kurma Ajwa untuk diberikan kepada makcik.
 Sewaktu makan malam di hotel sesudah solat Isya, aku bertanyakan khabar makcik dengan Haji Seman. Alhamdulillah dia sudah makan tiga biji dari keseluruhan tujuh biji yang aku cadangkan untuk dimakan berdasarkan Hadith Rasulullah s.a.w berkenaan khasiat Kurma Nabi untuk menawar penyakit dalam perut. Haji Seman turut bercerita berkenaan keputusannya membawa isterinya untuk Umrah kali ini kerana nazarnya sewaktu Umrah sebelum ini yang berhasrat mahu membawa makcik seandainya pembedahan mata kali ke-8 berhasil memulihkan pandangannya yang semakin hilang.
 “Anak-anak ada yang kurang setuju saya bawa mak dia kali ini sebab baru sebulan matanya dibedah. Tapi Alhamdulillah saya nekadkan juga sebab memang kali ini pandangan matanya bertambah baik”, ujar Haji Seman. “Lagipun kali ini memang saya bernazar, jadi saya fikir inilah kesempatan terbaik untuk saya Umrah berdua dengan makcik”, tambah Haji Seman yang sudah mencecah usia 60an pada masa itu sambil tersenyum.
 Dari hospital aku dan Haji Seman dibawa ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan kematian sambil menyerahkan passport makcik. Kami akhirnya solat subuh pagi Jumaat itu dibalai polis berkenaan. Sambil menunggu laporan disiapkan Haji Seman menyatakan kebimbangan bagaimana urusan penyelenggaraan jenazah makcik harus diaturkan sebab kami orang Batu Pahat yang sedang bermusafir di bumi Madinah yang bertuah.
 Aku bertanya kepada Sarjan yang bertugas dan jawapannya begitu mudah. “Tak mengapa, jangan risau… segala urusan jenazah ini akan ditanggung oleh Kerajaan Arab Saudi”. Lalu aku bertanya lagi, “apa yang kami sebagai ahli keluarga makcik ini perlu lakukan?”. Sambil tersenyum Sarjan berbangsa Arab itu menjawab, “duduk dulu, nanti saya buatkan teh. Lepas ini kami hantarkan ke tempat urusan jenazah, OK ?”.
 Kereta peronda polis yang membawa kami ke tempat urus jenazah meluncur sesudah selesai urusan di balai. Sesampai di situ, aku bertanya kepada lelaki pertengahan umur yang menguruskan tempat itu berkenaan sebarang bayaran urusan yang perlu. “Tidak… tidak… tidak ada sebarang bayaran. Semuanya ditanggung pihak kerajaan” ujarnya menolak sebarang pemberian wang kerana Haji Seman dilihatnya sedang mengeluarkan beberapa ratus riyal dari dompet.
 “Sebelum zuhur hari ini jenazah akan dibawa ke Masjid. Duduklah berehat sahaja di sini sebab hari ini Jumaat. Pergi sahaja ke Masjid dengan jenazah kerana pastinya Masjid Nabawi akan penuh”, begitu cadangan Tuan Pengurus Pusat Pengurusan Jenazah Madinah Al Munawwarah kepada kami. Jam di dinding baru menunjukkan lewat 9:30pagi. Kami memutuskan untuk terus sahaja berada di situ mengikut cadangan Tuan Pengurus.
 Haji Seman duduk di sebelahku. Beberapa minit kemudian, Tuan Pengurus keluar dari pejabatnya sambil membawakan dua gelas teh susu panas untuk kami berdua selain dua botol air mineral sejuk. Setelah Tuan Pengurus beredar aku bertanya kepada Haji Seman bagaimana keadaan makcik sebelum meninggal. Haji Seman tenang bercerita yang dia sendiri tidak nampak sebarang kelainan pada diri makcik malam itu selain kelesuan mabuk kapalterbang dan muntah segala makanan yang dimakannya.
 “Malam tadi balik dari Isya’, saya bagi kurma Ajwa kepada makcik”, tutur Haji Seman memulakan cerita. “Saya tengok dia nampak lemah, jadi saya suapkan. Sempat habis tiga biji, saya berikan air zam-zam yang saya ambil di Masjid tadi. Alhamdulillah lepas itu dia baring semula sambung berehat. Tengah malamnya saya terjaga sebab nak tengok kalau-kalau makcik muntah lagi. Nampaknya dia rehat saja. Saya ke bilik air, bila saya selesai makcik dah terjaga. Dia tanya saya, abang sejuk ke? Kalau sejuk matikan air-cond bukakan tingkap. Saya matikan air-cond dan bukakan tingkap sebab saya kira mungkin dia yang tak tahan air-cond”, sambung Haji Seman.
 “Awak nak minum air?” Haji Seman bertanya kepada makcik. “Boleh juga”, jawab makcik ringkas. “Saya ambilkan jus oren dan bagi dia lepas saya bukakan penutupnya. Dia minum separuh saja”, cerita Haji Seman kepada aku bersambung lagi. “Lepas minum, makcik panggil saya duduk di birai katil sebab dia nak baring di pangkuan saya. Kami berbual kosong perihal anak-anak dan lain-lain pengalaman berumahtangga sejak mula berkahwin sambil diiringi ketawa kecil. Berborak suami isterilah kan…” terserlah senyum Haji Seman sambil bercerita.
 “Dia tak muntah lagi lepas tu?” tanyaku menyelangi cerita Haji Seman. “Alhamdulillah memang tak muntah lepas makan kurma Ajwa sama air Zam-zam” jawab Haji Seman melayan soalan aku. “Kami terus berbual hingga jam 2:30pagi. Lepas tu saya bagitau makcik yang saya bercadang nak qiyamullail sambil nak mendoakan agar dia terus sembuh sebelum saya ke bilik air semula. Saya letakkan semula kepala makcik atas bantal. Saya tengok dia macam biasa je… sempat dia senyum sebelum saya masuk bilik air”. Suara Haji Seman seakan tersekat di kerongkong apabila ceritanya sampai di sini.
 “Bila saya keluar dari bilik air, saya tengok makcik tidur… saya biarkan saja sambil bersiap nak ke Masjid macam yang kita janji lah kan…” Haji Seman mengungkit janjinya untuk qiyamullail di Masjid Nabawi bersama aku. “Hampir jam tiga pagi saya tengok makcik macam tidur tapi saya tak nampak macam dia bernafas. Saya panggil dia tapi dia diam tak jawab. Saya gerakkan dia pun tak ada jawapan…” Haji Seman berhenti sekali lagi dari bercerita.
 Aku terdiam sejenak sambil berdetik di hati kecilku betapa romantiknya pasangan tua ini sehingga hujung nyawa si isteri. Beruntungnya Haji Seman beristerikan makcik ini. Tegar makcik berbual di pangkuan suami sambil bercerita dengan ceria demi mengembirakan lelaki pujaan hatinya meskipun ajalnya bakal berselang selepas beberapa ketika. “Ini benar-benar kisah Cinta bersulam CINTA Sang Pencipta” ujar hatiku berbisik sendiri.
 “Macamana nak usung jenazah ke liang lahad nanti? Siapa yang gali liang? Siapa yang akan tolong kita nanti?” bertalu soalan Haji Seman kepada aku. Meskipun aku tak punya jawapan yang pasti, dengan yakin aku menjawab, “Takpe Haji… InsyaALLAH semuanya akan tersedia. Aku jadi begitu yakin kerana segala urusan setakat ini begitu lancar tanpa sebarang masalah malah terasa seakan kami dimuliakan sepanjang urusan dengan layanan yang ramah dan mesra. Memang terasa nak sangat bertanya kepada Haji Seman apa agaknya amalan makcik semasa hidupnya sehingga matinya begitu?
 Jam 11:30pagi kereta buggy yang membawa jenazah sampai di pusat itu. Selesai jenazah diangkat ke atas kereta, kami berdua diajak ikut bersama menuju ke Masjid. Kami masuk melalui pintu Imam dan langsung di suruh duduk di dalam saf kedua meskipun pada masa itu Masjid sudah mula penuh. Bersungguh anggota polis menyuruh jemaah sedia ada memberikan ruang duduk untuk aku dan Haji Seman. Kami solat Jumaat berselang sebaris di belakang Imam Masjid Nabawi.
 Selesai solat, bilal menyeru jemaah untuk solat jenazah. Sekali lagi kami terasa diberikan keistimewaan apabila Imam menoleh ke belakang dan bertanya, “wein sahibul janaiz?” (maksudnya - mana keluarga jenazah?). Kali ini Imam menunggu sehingga kami berdua berdiri betul-betul di belakangnya untuk menyembahyangkan jenazah makcik bersama puluhan ribu jemaah yang hadir solat Jumaat di Masjid Nabawi. Rasanya bagi sesiapa yang pernah ke sana, pasti nilai situasi ini sukar digambarkan perasaannya.
 Selesai solat jenazah diangkat beramai-ramai menuju ke tanah perkuburan. Persoalan yang Haji Seman bimbangkan tentang siapa yang akan tolong usung jenazah terjawab sehingga aku dan dia sendiri terpaksa berlari sedikit mengiringi jenazah yang dipikul tangan-tangan para jemaah saudara seislam dari seluruh dunia dengan begitu pantas sekali.
 Keistimewaan urusan jenazah makcik tidak habis di situ. Aku dan Haji Seman terus mengiringi jenazah sehingga ke liang yang tersedia untuknya di dalam Perkuburan Baqi’. Ya benar… liang lahad makcik tersedia di kawasan perkuburan yang juga dikenali sebagai Jannatul Baqi’ yang bermaksud Syurga Baqi’ di kalangan ahli Madinah kerana di tanah perkuburan ini juga bersemadinya ramai sahabat-sahabat dan ahli keluarga seorang lelaki paling mulia pernah hidup di dunia bernama MUHAMMAD BIN ABDULLAH, pesuruh ALLAH yang disebut namanya di dalam kalimah syahadah.
 Penggali kubur menghentikan jenazah dari terus diturunkan sambil berteriak, “wein sahibul janazah?”. Sekali lagi Haji Seman ditunggu untuk turun ke dalam liang menyambut jenazah isteri tercinta sebagai penghormatan buatnya bersama si isteri di dunia ini. Aku hanya memerhati di tepi liang lahad kali ini sambil hatiku terus meruntun mahu bertanya kepada Haji Seman apa sebenarnya amalan makcik semasa dia hidup bersamanya sehingga sampai begini mulia layanan ke atas jenazahnya.
 Selesai sudah urusan jenazah makcik di bumi Madinah yang penuh barakah. Haji Seman meneruskan umrahnya dan melaksanakan umrah gantian untuk niat arwah isterinya. Aku diminta menemankan Haji Seman kerana dia rasa selesa kalau aku terus bersamanya. Di Makkah akhirnya aku tak mampu tahan keinginanku untuk mengetahui amalan atau sikap kehidupan arwah makcik bersama Haji Seman lalu aku mengajukan soalan.
 “Haji, mintak maaf saya nak tanya ya… Arwah makcik dulu masa hidupnya selalu buat apa?” cetusku bertanya kepada Haji Seman pada suatu malam sewaktu kami pulang ke bilik hotel setelah selesai solat Isya di Masjidil Haram. “Hmmmm… entahlah. Tak ada yang terlalu istimewa kalau saya nak cerita. Arwah makcik tu orang biasa je”, agak kecewa aku dengar jawapannya tapi aku yakin mesti ada jawapan lain. “Cuma satu perkara yang saya rasa paling saya tak boleh lupa pasal arwah”, tambah Haji Seman. “Apa benda tu Haji?”, berbunga hati aku rasa nak tahu juga apa ceritanya.
 “Masa saya mula-mula kahwin dengan arwah, hidup kami susah… Tapi Alhamdulillah saya dapat juga buka kedai runcit kecil, jual suratkhabar dengan barang-barang kecil di sebelah pejabat imigresen. Bila rezeki makin murah saya memang jadikan amalan bagi duit pada arwah selain duit belanja rumah. Bukan apa… saya ni tak berapa pandai kalau nak belikan hadiah yang cantik ikut mata orang perempuan, jadi saya bagi duit aje lah”, aku tekun mendengar cerita Haji Seman sambil terfikir di mana agaknya bahagian amalan arwah yang istimewa.
 “Arwah ni jenis yang pantang kalau orang mintak tolong… mesti dia cuba juga nak tolong walaupun masa kami sendiri tengah susah”, aku mula terasa mungkin inilah bahagian cerita yang aku nak tahu sangat. “Setiap kali bila arwah nak bagi duit pada orang yang dia nak tolong, mesti dia tanya saya dulu… boleh ke bang? Mula-mula saya jawab ikut dialah sebab duit yang saya bagi tu dah jadi milik dia. Lama-lama sampai dah tua-tua pun dia tetap tanya atau bagitau saya setiap kali dia bagi duit tu pada orang lain, saya jadi lali dan jawab ya sepatah je”. Haji Seman membetulkan duduk silanya di atas katil hotel sedang aku terkulat mendengar kisahnya.
 “Pernah satu ketika saya cakap, duit ini saya dah bagi kat awak. Kalau awak nak pakai untuk apa saja pun saya takkan tanya sebab saya percaya awak pun boleh fikir sendiri. Lepas-lepas ni kalau awak nak bagi sesiapa pun duit awak tu, awak bagi je lah… tak payah tanya saya pon takpe”, sambung Haji Seman lagi.
 “Saya cakap macam tu sebab dah berpuluh tahun kahwin pun dia masih tanya juga. Saya ingat masa tu arwah makcik jawab, saya tanya sebab duit ni awak yang bagi saya. Jadi duit ini saya anggap amanah suami dari awak untuk saya”. Terkesima aku mendengarnya.  Haji Seman menyambung, “lepas pada tu, dia masih terus tanya saya macam biasa cuma saya dah malas nak halang dia dari terus bertanya perkara yang sama sebab pada dia yang penting saya redhakan dia guna duit tu”.
 Aku rasa puas mendengar cerita Haji Seman seakan persoalan yang berlegar dalam kotak fikiran aku terjawab secukupnya. Tidak hairanlah jika ALLAH menjemput arwah makcik sedemikian rupa. Dengan makanan terakhir di dunia adalah air zam-zam dan kurma Nabi yang disuapkan suami, dengan perginya setenang orang yang tidur sesudah berbual dengan suami di pangkuan, dengan segala urusan pengkebumian ditanggung sepenuhnya dan dipermudahkan, dengan disolatkan selepas solat Jumaat di Masjid Nabawi yang mulia dan dengan tempat semadi terpilih bersama para sahabat Rasulullah s.a.w di Jannatul Baqi’. SUBHANALLAH.
 Aku belajar sesuatu yang sangat berharga dari pengalaman ini. Pada masa itu tahun 1999, aku bersama 99 orang jemaah berkongsi niat untuk beribadah menunaikan Umrah. Kematian arwah makcik isteri Haji Seman mengajar aku erti sebuah percintaan dalam hidup yang diulit serba kesederhanaan tetapi penuh dengan pengajaran tentang hubungan kemanusiaan yang didasarkan atas keinginan merebut Rahmat Tuhan. Justeru bagi aku yang bersama Haji Seman sepanjang menguruskan jenazah isterinya, aku merasakan kami diselubungi keistimewaan menerusi sebuah kematian sedang jemaah lain masing-masing terus berharap mendapat bahagian yang diinginkan.
 Bila difikirkan semula, memang aku takjub dengan cara Tuhan memberikan kemuliaan dan pengajaran. Mungkin jauh di sudut hati aku terselit sedikit kecemburuan atas Rahmat dan kasih sayang yang dilimpahkan. Bukan atas kedengkian, tapi atas rasa teruja sehingga aku terasa ingin menggantikan diriku di tempat arwah isteri Haji Seman lantaran segala apa yang aku saksikan.
 Hanya semudah menjaga amanah suami dengan begitu bersungguh meskipun hidup tidak dilingkari emas permata, aku sendiri menyaksi dan merasai keistimewaan menguruskan jenazah makcik ini sedemikian rupa. Sesungguhnya benar sebagaimana ucapan Hadith Rasulullah, “Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga.” – Riwayat Tirmizi & Ibnu Majah.
copypaste dari fb

1 comment:

sarah-najwan said...

subhanallah..semoga kita akan tergolong dlm kalangan orang yg macam isteri hj seman..insyaAllah...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...